Wednesday 31 July 2013

Isi Dan Kehidupan Dalam Teratak 308

Ini adalah entri kedua dan terakhir kot tentang Teratak 308. Tak boleh la cerita banyak sangat nanti habuk masuk mata lagi.

Okeylah. Where should I start! Banyak benda nak cerita hari ni. Entri pertama haritu aku cerita tentang macamana aku boleh terjebak masuk dekat Teratak 308 ni. Hari ni aku nak fokus dekat isi dan kehidupan dalam Teratak ni.

Masa mula mula masuk memang takde apa apa yang menarik pun. Pertama kali kan! Orang putih kata 'tak kenal macamana nak tahu'. Dalam Teratak ni yang aku kenal sesangat dari awal ialah teman sebilik aku. Nor Hidayad, teman se-SMF dan Amir Yazid, teman sekelas. Lepas tu aku cam sorang ni. Memang familiar sangat. Oh kawan sekolah rendah aku dulu! Nama dia Syakir Rahman. Kemudian bila dah masuk sini, walaupun pertama kali mesti rasa selesa bila Fitri mula menyapa. Kita akan rasa macam ' Did we meet/know before?' Kemudian aku jumpa Ridwan, student lukis lukis ni tapi dia FSPU (mula mula tak ingat kos). Lastly aku kenal Furqaan, budak FSKM jugak tapi tak pernah jumpa dekat Fakulti pun. That was how I met them.

Bulan pertama aku duduk rumah ni agak kebosanan sedikit. Sebab sebelum ni aku sibuk dengan Fakulti. Rumah ni macam balik hotel je kalau sebelum ni.  Bila dah pencen agak terasa lain sikit lah. Tapi kali ni kebanyakan masa aku akan duduk di rumah. Ibarat Amir tengok aku, Aku tengok Amir. Lebih kurang macam tulah. Nak sembang sembang dengan mereka tak pandai. Nak bergurau tak paham hati budi dan sabdu mereka lagi. Takpelah aku pasif dahulu. Lagipun dalam rumah tu aku junior. Cewah!

Dalam sebulan lebih jugak aku cuba biasakan diri. Ehm sikit info tentang diri aku ni. Aku ni jenis susah sikit nak bergaul awal awal. Sebab aku tahu setiap orang cara dia lain lain. Tapi kalau aku dah selesa, sorry lah ye. I prefer to observe first. Ada seorang kawan aku ni, dia kongsi sedikit tips berkawan. Katanya 'Kalau kita pun tak suka orang buat benda tu, kita pun jangan buat'. Sepanjang aku hidup aku pegang pada prinsip ni untuk hidup selesa, aman dan tenteram. 

Oklah apa yang best duduk rumah ni? Selain peralatan rumah yang serba serbi lengkap (Kalau rumah banglo janganlah compare pulak), ialah rumah ni bersih. Sebab dekat rumah ni semua orang sama sama jaga kemaslahan dalam rumah. Susah weh nak cari kawan serumah yang macam ni. Selain tu, kalau mengemas, semua akan sama sama bertungkus lumus. Itu aku panggil aktiviti bergotong royong. Tapi aku bukanlah hygiene sangat. 

Ada satu hari tu, Dayad ajak aku main masak masak. Bukan apa, kalau duduk luar ni main masak masak katanya boleh jimat. Aku orang baru, tak pernah duduk luar. Apa salahnya mencuba kan. Mana tahu kalau berjimat nanti boleh keluar S5 sebijik. Jadi satu malam tu, aku, Dayad dan Amir pergilah ke sebuah pasar raya ni dan beli barang barang keperluan. Masa tu semangat nak masak. Jam 10 jugak baru kami merasa makan air tangan bujang. Biasalah lelaki kalau dapat shopping. Jadi malam tu ini sahaja yang kami sempat sediakan.

Ayam Goreng Kunyit, Telur Dadar dan Taugeh Masak Kicap
Biasa biasa je masa hari pertama tu. Lepas dari hari tu, boleh dikatakan setiap malam kami akan makan di rumah. Serious nikmat sangat. Perlahan lahan dah rasa macam keluarga bila dapat makan sekali setiap malam. Kawan tolong cedokkan nasi, cedokkan lauk, tuangkan air, tolong siapkan makan, kemas sama sama, siap makan sama sama. Memang macam keluarga dah.

Setiap hari aku cuba masak lauk lain lain. Yelah mesti bosan kalau makan lauk yang sama je kan. Nantilah aku buat satu entri tentang permainan masak masak kami. Tapi selama ni aku perasan yang Amir suka makan yang pedas pedas, Dayad suka lauk yang simple simple, Aan pulak suka Sardin, Telur Dadar dan Sambal Belacan. Fitri, Wan dan Syakir memang tak kesah.

Lagi satu, alhamdulillah aku dapat housemate yang sama sama rajin dan tolong menolong. Tak percaya?




Bukan kami berdua je. Ada lagi! Amir pandai kacau gulai ikut sunnah Nabi dan dia selalu masakkan nasi untuk kami. Aan pulak pandai tumbuk sambal sampai menangis. Sedih katanya tengok cili tu hancur. Cadangan pakai helmet? Agak agak berkesan tak? Fitri pulak bab menggaul dan menggoreng ayam Superb. Tak hangit pun. Syakir pulak, halus je dia kupas bawang merah, bawang putih dan kentang. Dayad, bahagian mengemas. Kalau mengemas peti ais mesti lincin semua barang barang. Dan bila kami semua sedang bersilat di dapur Wan akan hiburkan kami dengan suara dan camera Ipad dia.

Bila dah masuk penggal kedua semester barulah tahu dekat rumah ni Furqaan pandai buat pelbagai kek. Mula mula Aan buat kek batik cheese, tapi aku cuba approach dia buat kek batik cokelat pulak. Cheese aku tak makan banyak sangat sebab muak. Jadi pertama kali nak buat tu eksited gila aku dan dia pergi Giant beli barang. Tak silap aku masa tu hari Jumaat. Dah beli belah semua, kami mulakan operasi. Macamana nak buat? Kena tanya tuan empunya resepi lah. Red velvet? Dia kata nanti dia hantar melalui instagram!

Chef Kek Batik.

Kek batik pertama/senior.
Apa warna putih putih tu? Itu serbuk badam. Kami letak badam sikit nak bagi ada rasa rangup rangup. Lepas kali pertama tu, permintaan ramai. Entah banyak kali jugak lah Aan buatkan. Tapi sumpah sedap gila. Siapa dah pernah merasa tahulah terangkat atau tidak. Aku cakap kat dia kek ni sedap sebab air tangan dia. Dia tak percaya! Kalau kami buat mesti tak jadi kan, Amir? *Alasan malas.

Kemudian, benda paling aku takkan lupa ialah Teratak 308 buat kenduri menyambut bulan Ramadhan bulan lepas. Pertama kali dan seramai 25 orang tetamu hadir. Asalnya nak buat majlis makan makan je, tapi bila dah ramai ramai tu terus tukar nama majlis. Ambil keberkatan bulan Syaaban masa tu. Lagipun sambut bulan Ramadhan yang penuh barakah ini.

Kami tak mampu nak panggil katerer, jadi kami gotong royong masak apa apa yang reti. Dan masa tu barulah aku tahu Wan pandai buat pudding oreo. Sorang lagi chef dekat rumah ni. Memang sedap pudding tu. First time aku makan puding oreo. Alhamdulillah rezeki malam tu cukup untuk semua. Zaki dan Mr X sempat bawakan buah buahan sebagai pencuci mulut. 

Gulai Lemak Pucuk Ubi, Kentang Belada, Ayam Masak Merah, Taugeh Goreng
Nak tahu? Semua lauk lauk tu dimasak dalam masa kurang dari 3 jam. Bagi yang tak pro macam kami dengan limitasi dapur dan perkakas yang ada memang rasa wow dah. Berkat usaha bersama sama housemate semua perkara berjalan lancar. Alhamdulillah.




Untuk pencuci mulut pula kami ada buah epal, tembikai, kek batik dan pudding oreo.

Masa kenduri tu, rasa seronok sangat sebab dapat kumpulkan kawan kawan semua. Ada kawan dari diploma, ada yang dulu pernah duduk rumah ni, ada kawan yang akan terbang jauh, ada kawan yang 2 sem tak jumpa, ada kawan dari sekolah menengah. Memang macam reunion dah lah. 


Rumah kami taklah besar tapi kami sumbat jugak semua dalam rumah. Memang indah rasa bila dapat kumpul macam ni. Harap lepas ni aku pulak dapat invitasi. Jamuan raya ke? Haha

Oklah lepas kenduri tu, Ramadhan pun tiba. Tiada apa yang seronok bila dapat bersahur bersama sama. Sahur adalah masa yang kami ada untuk berkumpul beramai ramai sebab masa berbuka selalunya semua ada komitmen masing masing. Lagi satu yang best bila lepas sahur tu kami solat berjemaah sama sama. Syukur rasanya dapat merasai Ramadhan bersama mereka walaupun sekejap sahaja. Satu lagi keindahan yang akan aku ingat sampai bila bila.

Selain itu sempat jugak kami berbuka puasa beramai ramai di Dataran Shah Alam. Aku campurkan sekali keluarga We For You dan Keluarga 308.



Kami beli dekat bazar dan bawak datang sini. Memang happening berbuka dekat ini. Ada sekali tu Aku, Hilmi, Amir, Baizura, Aan, Fitri dan Cica berbuka sekali. Tak payah ceritalah apa berlaku tapi memang dalam kenangan betullah malam tu. 

Di penghujungnya pula kami bertujuh ramai ramai berkumpul bagi Majlis Iftar Teratak 308 di Malaysian Bistro, SACC Mall Shah Alam. Temanya 'Kita Kita Aje'. Memang dalam perancangan agar malam itu adalah malam eksklusif untuk kami sahaja.


Nota Peringatan
Sempatlah kami beriftar sama dan merasai The Best Coconut Shake In Town. Ini adalah pertama kali kami serumah keluar bersama sama. Walaupun sekejap tapi detik bersama itu memberi seribu makna untuk diingati. 

Sesi Iftar Bersama


Coconut Shake Terbaek
Banyak lagi lah kenangan kami semua bersama tapi ini diantara yang memberi kesan tinggi dalam hidup aku sepanjang aku duduk dekat rumah ni. Lepas kami berbuka bersama haritu, selang beberapa hari aku pun pulanglah ke ganggang. 

Alhamdulillah aku rasa bertuah sangat sebab kenal dengan mereka ni. Satu semester kenal tapi rasanya seabad. Lepas ni masing masing akan membawa haluan sendiri. Aku hanya mampu berdoa agar persahabatan ini akan kekal selamanya dan jika ada umur yang panjang pasti diharapkan semua dapat berkumpul kembali. Sebelum aku balik, aku memang ada ambil gambar sebagai kenangan dengan setiap housemate aku. Aku nak simpan jadikan kenangan sampai bila bila. Kalau ada peluang satu hari nanti jumpa housemate tak best, aku nak bagi tahu dia, "Ini lah housemate awesome aku!" Orang kata hidup sekali, manusia kita jumpa berjuta tapi orang macam mereka hanya satu je yang aku kenal dan aku dah simpan mereka dalam hati aku! Ya Allah, aku berdoa dan memohon agar berkatilah semua housemate housemate kesayangan aku ni.



Aku rasa sampai sini sahaja. Kepada housemate aku, Furqaan, Dayad, Amir, Wan, Fitri dan Syakir aku mohon maaf lah jika selama kita kenal ni ada mana mana terkurang dan terlebih. Semoga ukhwah ini kekal lagi abadi. InsyaAllah!

Sekian. :D




Monday 29 July 2013

Aku Dirasuk Oleh Matematik

Hari ini aku gembira nak cerita sikit tentang diri aku. Serious sikit je.

Kali ni aku nak cerita tentang minat aku. Nama dia Matematik. Aku akan cerita kenapa Matematik, siapa Matematik, bagaimana Matematik dan bila Matematik tu mula merasuk dalam diri aku.

Masa sekolah rendah sampai tingkatan satu aku minat Matematik ni biasa biasa je. Tak de lah obses macam orang lain nak bawa sempoa ke sana ke mari. Pertama kali aku masuk sekolah tu memang tahap kerisauan tinggi sangat. Yelah aku first batch belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Mula mula belajar matematik aku paham je. Kacang je kan bab pertama tu, tapi bila masuk bab 'Number Lines' terus aku panik. Ada pulak nombor positif, nombor negatif. Dah lama sikit belajar +, - , x dan / . Terus aku hilang. Tak paham langsung. Lepas tu dalam kelas aku dengar je cikgu tu ajar. Contoh dia bagi dalam kelas, kalau bayar 6 hutang 10. Aku selak buku takde pun cakap hutang, bayar semua ni. Aduhai lagilah aku pening. Tu belum bab Algebraic Expressions dan Linear Equations lagi. Lama lama aku terus dibawa arus ombak. Aku seronok naik kapal layar tu sampailah hujung tahun. Masa tu bila tengok keputusan Peperiksaan Akhir Tahun memang jauh sungguh aku dah belayar.

Tahun berikutnya 2004, aku teruskan masuk kelas matematik dengan ilmu tak cukup di dada. Aku dapat cikgu ganti, dia sempat ajar satu bab je. Tak paham jugak! katanya 'nanti cikgu matematik sebenar awak akan masuk lepas cuti bersalin'.

Masa kelas pertama dengan cikgu matematik ni aku belajar macam biasa je. Yang aku perasan, cikgu ni tak tinggalkan pun insan insan yang dah memang tertinggal macam aku. Itu yang buat aku semangat balik nak belajar matematik. Dia ajar step by step untuk bagi kami paham. Ingat lagi sekali tu dia ulang sampai banyak kali satu benda je untuk bagi kami paham. Dia tak kata pun, "tanyalah kawan sebelah". Biasalah sekolah semua lelaki, nakal mesti ada, degil lagilah. Konsep cikgu ni kalau korang nak belajar datang depan. Macam biasa lah yang malas malas sikit tu akan beransur perlahan lahan ke belakang. Tapi dia tak pernah biarkan. Dia round satu kelas jugak check kami buat ke tak solusi tu.

Sikit sikit, aku mula paham apa cikgu ni ajar. Tapi dalam kelas, aku ni pemalu sikit nak tanya. Bukan malu apa, masa tu confidence level dalam diri tak tinggi. Kalau perasan matematik ni, bila tak paham kita benci, caci dan rasa lost, tapi bila rentak tu sampai, semangat nak kutip ilmu dan nak paham lagi mendalam sangat sangatlah tinggi.

Untuk kejar ilmu matematik ni, aku korbankan masa rehat aku. Masa rehat selalunya cikgu ni akan duduk surau, jadi dia kata kalau nak belajar/ada soalan datanglah surau. Aku dengan tak malu pergi je surau sebab masa tu aku nak belajar matematik ni. Masa tu aku memang bengap gila bab Loci. Nak buat 4 jenis locus tu pun tak tahu. Tapi alhamdulillah untuk ujian ujian seterusnya, markah Matematik aku ada sedikit peningkatan. Tak lah dapat A tapi aku syukur tak lah seteruk dulu. But still my positive and negative numbers very bad masa form 2 tu. Selain itu, cikgu ni siap buat kelas tambahan lagi bagi siapa siapa nak belajar matematik. Tak ramai pun yang datang tapi effort dia untuk buat kelas hari Sabtu memang patut mendapat tabik hormat.

Masa berlalu pantas, aku melangkah kaki ke Tingkatan 3. Sekali lagi bab Lines and Angles dan Polygons membuatkan aku tersungkur kali kedua. Detik hati aku, tak boleh macam ni, tahun ni aku PMR. Aku kena buat sesuatu ni. Aku jumpa balik cikgu Tingkatan 2 aku. Aku bagitahu dia aku nak belajar Matematik. Aku nak tuisyen dengan cikgu tu. Dia kata okey. Masa tu aku happy gila. Dan aku berikrar dalam diri nak belajar Matematik sampai paham!

Masa Tingkatan 1, 2 dan 3 tu aku ni agak sibuk sikit dengan Pancaragam. Tapi aku tekad macamana pun aku kena pandai bahagi masa. Setiap hari Ahad aku akan pergi belajar matematik. Pernah jugak habis main pancaragam terus aku pergi belajar matematik. Penat, bau busuk, mengantuk semua ada tapi aku cakap dalam diri kalau aku boleh pergi pancaragam dari 8 pagi sampai 5 petang atau lebih takkan 2 jam aku belajar tak boleh.

Masa aku belajar untuk PMR tu, aku rasa diri aku kerdil sangat. Ya Allah bodohnya aku. Aku tak boleh jawab soalan soalan mudah pun, aku tak reti banyak teknik, aku tak reti macamana nak start jawab soalan, aku tak tahu banyak bab pun! Tapi cikgu ni ajar aku dengan sangat sangat sabar. Aku tahu tahap kesabaran dia sangat tinggi. Sebab dia ajar aku benda yang sepatutnya aku tahu zaman dulu lagi dan dia buat satu satu soalan tu dengan aku. Dia tak tinggalkan aku terkontang kanting sorang sorang pun. Tak pernah pun keluar perkataan bodoh, atau bengapnya kamu ni dari mulut cikgu tu. Sebagai pelajar, aku akur, aku buat je semua soalan. Aku tak pilih sebab aku tahu semua soalan ada cabarannya. Kalau nak tahu, masa Tingkatan 3 tulah baru aku paham +ve, -ve, hutang, bayar dan banyak lagi teknik teknik dalam matematik. Boleh dikatakan masa Ting 3 lah baru aku cover semua bab dari Ting 1 hingga Ting 3. Cikgu tu beri aku kekuatan untuk buat yang terbaik dalam PMR. Tapi dia tak pernah bagi aku sedikit tekanan pun. Sumpah dia cool je. Aku bersyukur sangat dapat belajar matematik dengan cikgu ni.

Masa exam PMR, aku sudah bersedia untuk berperang dengan kertas matematik ini. Aku tanam dalam diri, aku nak buat yang terbaik dan menjadikan usaha aku ni berbaloi. Walaupun aku tahu, ramai lagi kawan kawan yang bersedia lebih awal dari aku tapi aku percaya setiap usaha pasti ada hasilnya. Keluar je keputusan PMR, aku tengok keputusan Matematik dulu. Syukur sangat sangat aku dapat A. Satu kepuasan yang tak boleh digambarkan langsung.

Selang beberapa hari aku masuk Tingkatan 4. Selama ni aku dengar senior senior kata Matematik Tambahan tu susah. Tak sabar aku nak tengok Matematik Tambahan tu. Masa Ting 4 aku teruskan usaha murni untuk belajar Matematik Tamb dengan cikgu tadi. Alhamdulillah aku sempat belajar 4 bab. Functions, Quadratic Equation, Quadratic Functions dan Simultaneous Equation. Sebelum aku tukar sekolah, ada satu ujian awal tahun, nak tahu berapa aku dapat markah masa tu?



Serious aku pun terkejut. Masa ni aku dapat paling tinggi dalam kelas. Aku bagitahu dalam diri, ini adalah hadiah untuk cikgu yang sabar mengajar aku selama ni. Masa belajar Matematik Tambahan lagilah. Aku buat latihan dan nak paham lagi lambat dari kura kura. Tak tahulah mana cikgu tu dapat kekuatan mengajar aku dengan penuh kesabaran!

Bila aku pergi sekolah baru, aku ibarat seekor burung yang patah sayap. Masuk sekolah baru, suasana baru, kawan baru dan sayap pun kita kena tukar bulu baru.

* Nanti aku cerita kisah matematik aku di sekolah baru pulak. Biar aku habiskan dulu kesah percintaan aku dengan Matematik ni dulu.

Orang kata disebalik kejayaan seseorang itu pasti ada pemangkinnya. Semestinya ibu sendiri, mama yang selalu memberi semangat, sokongan, bantuan, dan pengorbanan sepanjang menjawat status sebagai pelajar Matematik ini. Namun terselit seorang lagi insan yang berjaya mengetengahkan potensi diri ini. Jika sebelum ini tiada langsung sinar harapan matematik pada diri, namun beliau hadir mencorakkannya. Alhamdulillah corakkan beliau memberi impak dan kesan yang teramat tinggi dalam diri ini.

Siapakah beliau? 


Inilah Sifu aku
Beliau ialah Cikgu Nor Hamisah Ibrahim. Beliau seorang guru yang mula aku kenal sejak 2004 sehingga hari ini. Beliau sangatlah baik, sporting, lemah lembut dan tak reti marah. Beliaulah memberi aku jalan untuk mencintai Matematik. Tanpa beliau, siapalah diri aku pada hari ini. Istilah 'Zero to Hero' agak kurang aku gemar. Belum lagi sampai ke tahap Hero, tapi aku bersyukur daripada Zero, I Am What I Am Today! Beliau bukan sahaja bertindak sebagai guru, namun beliau terus memberi aku jalan, motivasi, kata kata semangat dan selama ini telah pun aku anggap seluruh keluarganya seperti keluargaku sendiri. Selagi hayat dikandung badan akan aku jaga ukhwah yang dibina ini. Boleh aku katakan, cikgu Hamisah adalah salah satu bintang yang pernah hadir dan memberi sinar buat hidup aku. Tidak akan aku lupa walau sejengkal jasa dan ilmu yang ditaburkan. Tiada kata atau ucapan indah selain Terima Kasih buat segala pengorbanan Cikgu selama ini.

Kenapa hari ini tiba tiba aku tulis tentang cikgu aku? Kelmarin lepas aku pulang dari rumah cikgu Hamisah, kerdil rasa diri ini apabila dihitung hitung hampir 10 tahun aku dah kenal cikgu Hamisah. Masa berlalu pantas. Dan agar penulisan ini terus membuatkan akal dan minda aku sedar dimana titik titik penting ini akan terus berdiri.

Sekian. :D


Sunday 28 July 2013

10 Lagu Raya Malar Segar

10 hari lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Mungkin ada yang kata ala poyo je nak tulis tentang lagu raya. Eh lantaklah blog aku! 

Jadi kat sini aku nak kongsi 10 lagu raya yang buat aku tak bosan walaupun dengar berjuta juta kali. Maaflah lagu lagu raya dari generasi Y macam M Daud Kilau, Jeffrydin mahupun Hetty Koes Endang aku tak layan. Bagi aku kurang nilai sentimental nya. Bila dengar jadi sakit mental je.




Anugerah Aidilfitri


Nazam lebaran



Bersabarlah Sayang


Diari Ramadan Rafique


Aidilfitri Di Alaf Baru


Sepasang Kurung Biru


Sesuci Lebaran



Bila Takbir Bergema


Indahnya Beraya di Desa



Suatu Hari Di Hari Raya

Tapi ada banyak lagi lagu lagu Raya Malar Segar yang best. I only choose the best 10!



Sekian. :D


We For You : Dikir Barat Satukan Kami

Antara banyak banyak negeri di Malaysia ni, negeri Kelantan paling popular sekali bab dikir barat ni. Kali ni We For You nak pecah rekod sikit. Kami cuba ceburi bidang dikir barat. Bukan sebab banyak masa tapi atas permintaan ramai untuk lihat kami atas pentas beraksi (*ye ke). Maka untuk tidak hampakan kawan kawan lain kami cuba mendapat persetujuan semua. Lepas semua bersetuju barulah sesi latihan dimulakan.

Bukan senang nak buat dikir barat ni. Bab ahli settle. Yang paling susah sekali bab nak melakar lirik dan mencipta lagu. Cipta lirik bermula masa hujan turun gerimis. Gigih semua datang turun ke Kolej Mawar untuk buat lirik. Rangkap pertama je ambil masa sejam lebih. Yelah semua seronok nak berdikir. Last last tak sempat siap jugak, takpelah teman bawak balik bilik dan jadi Ramli MS kejap.

Setelah siap semuanya, kami mulakan sesi latihan. Kami berlatih lebih kurang seminggu jugak sebelum hari pertandingan. Setiap malam kami berkumpul dekat Kolam Renang UiTM dan berdikir. Alhamdulillah semua bagi komitmen yang bagus. We For You kan!

Tanpa dirancang, aku dilantik sebagai tukang carut karut. Kami buat keputusan untuk modenkan dikir barat ni dengan tidak menggunakan loghat bahasa demi memartabatkan Bahasa Melayu cewah.

Banyak jugak adegan adegan lucu sepanjang berlatih dikir barat ni. Ye lah bukan senang nak nyanyi dan berkareografi. Yang paling banyak kenangan ialah masa berkareografi. Banyak sangat cadangan. Tapi serious Amir dan Farhana buat paling comel sekali. Dan lupa nak bagitahu dikir barat ni tak sedap kalau takde pemuzik. Jadi kami import pemuzik khas dari India, saudara Fahmi.

Mesti korang tak sabar macamana agaknya Dikir Barat We For You ni kan?

Video dibawah ni dirakam oleh Ms X. 

Tak lah best sangat tapi bagi family We For You inilah kenangan yang kekal lagi abadi.





Alhamdulillah persembahan dikir barat ni berjaya menjadi JOHAN Bakat Seni sempena Minggu Matematik 2012.

Lepas ni nak berdikir tunggu anak cucu kami bergabung pulak ye. 

Sekian. :D

Friday 26 July 2013

Di Sebalik...We For You...

Satu satunya kelab yang tidak berdaftar. Namun kami daftarkan ia dalam hati. Nama We For You tidak dapat dipastikan dari mana asal usulnya, namun seramai 17 orang ahli telah dikenal pasti dan janjinya akan terikat selagi nyawa dikandung badan.

Tiada ketua, tiada ayah, tiada ibu. Kami semua sama bila dipanggil We For You. Seorang terjentik 16 terasa. Sampai ke situ sekali tau. 

We for You ada dua baju rasmi.

Design 1

Design 2


Kenangan bersama We For You memang tidak bisa untuk dikembalikan. Semuanya suci untuk diabadikan bersama. We For You pernah merangkul beberapa anugerah sebelum ini. Antaranya Johan Dikir Barat FSKM.

Inilah kami, keluarga We For You

#CariKami

Fizha - Kiri sekali baju hitam tangan macam nak bernikah
Baizura - Baju ala ala pelangi
Farahliana - Peace yang paling tinggi sekali
Farhana - Peace yang rendah sikit dari Farahliana
Ayu - Peace lagi rendah dari Farhana
Eby - Dah jumpa Ayu? Eby sebelah dia
Aja - Tudung cokelat belakang sekali tu yang lapar nak makan ayam
Elly - Yang cuba sembunyi badan dia (belakang sekali)
Hazwani - Tudung kuning perlahan
Maisarah - Yang senyum lebar tudung kuning Diraja
Eemir - Depan yang paling besar sekali
Zulhilmi - Baju Kuning SAF FSKM bersama kad kahwin 
Afiqah - Tudung biru macam awan mendung hujan haritu
Farah Azieka -  Tudung Pink ala ala Fynn Jamal
Solehan - Jejaka baju putih
Fahmi  - Baju hijau pengurus pasukan SAF FSKM
Amir - Yang manja macam kucing tu



Ini satu satunya gambar yang lengkap 17 orang semua ada. Gambar ni diambil selepas peperiksaan akhir tamat baru baru ini. Semua sedih excited sebab no more books, classes, assignments, quizzes, tests and finals.

Kalau nak cerita tentang We For You ni memang banyak!!! Sabar sabar, nanti aku ceritakan satu satu apa kami buat dalam We For You.

Tunggu tau!

Sekian. :D


Habitat Terakhir

Ingat tak lagi masa kita darjah empat. Matapelajaran Sains berkenaan Keperluan Asas Manusia. Tak ingat? Takpelah kita imbas sepintas lalu. Keperluan Asas Manusia ada empat.
  1. Air
  2. Makanan
  3. Udara
  4. Habitat
Hari ini aku sedikit tertarik nak cerita tentang no 4 tu. Habitat atau kata nama gandanya Tempat Tinggal. Tempat tinggal? Menarik ke? 

Tempat tinggal yang akan aku cerita ni adalah tempat tinggal terakhir aku di Shah Alam. Secara kontraknya aku boleh terus berada di sana sampai 31 Ogos 2013 jam 11.59 malam, namun bila dah takde apa apa urusan di sana aku buat keputusan untuk pulang ke ganggang lah. Rasminya aku melangkah keluar semalam (25 Julai 2013) jam 9.18 pagi.

Ramai tertanya tanya best ke duduk luar, atau nama saintifik bagi pelajar UiTM budak NR (Non-Resident) ?

Jujurnya, semester lepas baru pertama kali aku duduk luar. Sebelum ni aku duduk Kolej Jati dan Kolej Teratai. Nak tukar status jadi budak NR ni aku fikir 137 juta kali jugak lah. Bukan apa, takut trauma jumpa orang yang tak best.

Apa cerita 308 pulak? Aku buat keputusan di akhir sem tu biarlah aku berdikari sikit. Mana tahu boleh masak kari ke kan. Lepas ni pun, intern dan kerja mesti kena berdiri atas kaki sendiri kan.

Cukuplah sejarah macamana aku duduk luar ni. 

Teratak 308 ni terletak di Blok PKNS Seksyen 7 Shah Alam. Sumpah unik Teratak ni! Kecil je rumah tu, tapi isi dalamnya yang buat rasa seronok. Dalam rumah ini ada 7 orang semuanya.
Inilah teman serumah dengan aku.

Teman Serumah
<Dari Kiri> Ridwan, Amir, Fitri, Furqaan, Dayad, Eemir, Syakir

Setiap dari mereka ni ada keunikan tersendiri. Sebab tu sepanjang aku duduk sana semester lepas hati aku lapang macam padang pasir. Takde apa nak khuatir. Bosan senyap, Fitri akan teman. Internet atau benda benda komputer dan teknologi rosak Dayad ada. Nak dengar karaoke free , Ridwan ada. Bila nak sembang benda indie Syakir tahu. Amir pulak jadi pemangkin untuk study. Dan Furqaan, layan jelah apa gossip yang aku cerita kat dia.

Semuanya lengkap melengkapi. Sebab tu aku sayang depa semua ni!
GALAU rasa hati lepas ni kalau nak duduk luar sebab mesti aku akan compare dengan depa depa yang BEST ni!!!

Apapun kenangan dekat rumah ni memang banyak gila. Nak tahu?? Nanti aku ceritakan satu satu kenangan aku dengan housemate housemate awesome aku ni okey!

Sekian. :D


Tuesday 23 July 2013

JODOH Aku!

Tanpa disedari 5 Semester berada di Shah Alam berlalu dengan pantas sekali. Tidak pernah terlintas langsung tarikh 20 Julai 2013 ini akan datang bertemu. Ketika ditanya bila bila dan bila...? Aku terus berkata tak pernah terfikir bila hari itu. 

Tapi bila sampai masanya... Megahnya aku berkata belum bersedia... Baru aku tahu, ianya kesilapan aku yang tak pernah ambil tahu tarikh itu akan wujud.

Sepanjang 5 semester aku dilahirkan, merangkak, berjalan dan berlari di UiTM Shah Alam ini, pelbagai ragam, hati, sifat dan sikap orang aku jumpa. 

Kalau aku tulis semuanya dalam satu entri ni mesti ada yang akan juling nanti.

Nanti aku ceritakan lah satu persatu!

Alhamdullillah Allah JODOHkan aku untuk bertemu dengan mereka sepanjang aku di Shah Alam;


Adik Beradik Senator
Adik Beradik We For You
Housemate Terbaik Teratak 308
Sahabat Karib TESL
Sahabat Karib
Atlet Catur SAF FSKM 2012
Delegasi ke Beijing
Seniors
Lecturers
Housemate Terbaik Meranti A304
Fasilitator Team Building SMF FSKM 2013
Sekretariat Mahasiswa Fakulti Sains Komputer dan Matematik 2012/2013


Banyak kesah untuk dirungkaikan.




Eemir Syhafiq.

Monday 22 July 2013

Nukilan Ikhlas Buat SAHABAT

Sejak tahun 2006, 3/4 daripada masa banyak dihabiskan bersama rakan rakan. Sehinggalah pada 2 hari lepas kehidupan bersama sama sahabat tamat. Namun segala kenangan itu masih menjadi yang paling tinggi dalam hati ini.

Tanpa segan silu, nukilan SAHABAT ini ditulis dengan penuh kenangan di minda dan di jiwa.
Khas buat sahabat sahabat semua.

Hayatilah setiap bibit bibit perkataan itu. Nescaya ia nya lahir dari hati ini untuk KAMU, Sahabat.


SAHABAT



Sahabat,
Dikau hadir tanpa dirancang,
Titik pertemuan itu satu keajaiban.

Aku akui,
Bukan mudah ia dibentuk,
Titik itu terus dan terus bergerak,
Itulah anugerah indah ciptaan Nya,
Termaktub sudah untuk kita bersama.

Kawan,
Apakah itu?
Bukanlah satu istilah yang indah untuk dirungkaikan
Oleh itu aku bedakan  antara kawan dan sahabat.

Kenalan?
Tidak!!Tidak!! Tidak!!
 Aku kata kamu sahabat,
Karena aku hanya ada KAMU sahaja sebagai sahabat ku.

Indah sungguh ukiran kenangan yang diukir,
Biarlah ianya terus diabadikan,
Mudahan nanti akan kamu ingat,
Setiap inci cerita, nangis, tawa mungkin juga hiba,
Biarlah  antara kita sahaja.

Tatkala aku perlukan kamu,
Aku tahu kamu tiada lagi disampingku,
Namun sentuhan kamu masih lagi dapat dirasai,
Masih segar di ingatan untuk terus duduk bersama sama.

Sahabat,
Moga hubungan ini akan terus ikhlas dan diamati,
Jadikanlah ianya satu janji,
Bila masanya sampai,
Tiada apa dapat pisahkan kita untuk bertemu kembali.

Tapi andai kata aku pergi dahulu,
Aku bersujud agar biarlah aku terus menjadi sahabat mu,
Aku percaya,
Suatu hari nanti kita pasti akan ketemu
Mungkin bukan jodoh kita disini,
Syurga itu pasti akan menjadi saksi
Di hari pertemuan itu nanti.
Insyaallah..


Aku sayang kamu, SAHABAT.

Eemir Syhafiq.


*Bagi yang masih belum menerima sajak ini, usah gusar. Setiap sahabat Eemir pasti akan menerima sajak kosong ini. 


Welcome Welcome Welcome

Pernah menulis blog sebelum ini tapi kali ini Eemir akan mula membuat penulisan yang baru dan segar. 

Start back a new life obviously need a new look!

Welcome to my Blog!!!

Layan jelah ye!